SEOUL: Pengeluar penulen udara dan penapis air terbesar Korea Selatan, Coway Co Ltd, merancang untuk berkembang ke 15 kawasan baru di Malaysia pada tahun ini.
Naib Presiden Eksekutif bagi Unit Perniagaan Luar Negeri, Kim Yong Seong, berkata rancangan pengembangan itu didorong prestasi kukuh di Malaysia, selepas unitnya Coway (M) Sdn Bhd mencatatkan jualan sebanyak RM268 juta pada tahun lalu, meningkat 22 peratus berbanding 2013.
Kim berkata, syarikat yakin dapat mengukuhkan perniagaan di Malaysia selepas meraih jualan lebih 10,000 unit pada April 2015, dan merancang untuk menjadikannya hab Asia Tenggara untuk kawalan berpusat
Bagi sepanjang tahun ini, syarikat menjangka jualan sebanyak 90,000 unit bernilai RM380 juta dengan pelaburan sebanyak RM35 juta.
Coway Malaysia dengan asas pelanggan sebanyak 210,000, mengendalikan 60 cawangan, 19 pejabat jualan, 23 Cody (Coway Lady) dan 18 pusat perkhidmatan Dream dan mensasarkan RM800 juta dalam perolehan dan 500,000 pelanggan pada tahun 2020.
Prestasi Coway Malaysia merupakan yang terbaik dalam kalangan anak syarikat Coway di luar negara, mengatasi di China, Thailand dan Amerika Syarikat.
Coway yang mempunyai dua kilang pengeluaran iaitu di Yugu dan Incheon di Korea, juga memberi tumpuan kepada pengekalan pelanggan, mengukuhkan produktiviti cawangan Cody dan melancarkan enam produk baru tahun ini.
Syarikat merancang untuk membangunkan anak syarikat baru di luar negara melalui usaha sama atau pelaburan sendiri di Indonesia dan Vietnam.
- BERNAMA
Sumber : http://www.bharian.com.my/node/59145
EmoticonEmoticon